Tiada manusia di dunia ini yang tidak pernah mengalami sebarang penyakit. Penyakit dalam Islam terbahagi kepada dua bahagian, pertama: penyakit rohani dan kedua penyakit jasmani (fizikal). Rasulullah SAW diutus kepada seluruh alam bagi mengubati kedua-dua jenis penyakit ini. Peranan Rasulullah SAW tidak terhad sebagai murabbiy, pemimpin, pendakwah dan sebagainya, bahkan Baginda SAW juga diutus sebagai ‘tabib’ (doktor) untuk membantu umatnya yang menghadapi masalah kesihatan.
Terdapat pelbagai cara untuk mengubati penyakit yang menimpa kita sama ada yang berlandaskan syariah ataupun yang bertentangan dengannya. Bagi orang-orang yang lemah imannya, mereka cenderung untuk berubat dengan unsur-unsur yang bercanggah dengan syariah Islam seperti alkohol, dadah, khinzir, berjumpa bomoh hitam yang bergantung kepada jin dan syaitan dan sebagainya. Sebaliknya, bagi orang-orang yang beriman, mereka mempunyai cara-cara yang halal dan ikhtiar yang syarie seperti makan ubat-ubat yang tertentu, bertemu doktor dan ramai juga yang menggunakan kaedah rawatan Islam sepertimana yang diajar oleh Rasulullah SAW.
Ilmu rawatan Islam amat amat luas dan terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin mendalaminya termasuk orang-orang awam. Malahan, amalan wirid dan doa yang diajar oleh Rasulullah SAW perlu dipraktikkan oleh setiap individu terutama sekali yang berpenyakit.