Kesihatan diri dan keluarga merupakan aspek yang amat penting dan perlu diambil berat. Kebiasaannya jika berlaku jangkitan penyakit seperti deman selsema, kemalangan, kecederaan dan sebagainya maka kita akan segera menemui doktor untuk mendapatkan rawatan dan ubat. Namun adakalanya ia berlaku tanpa dijangka dan berlaku dalam waktu tengah malam atau ketika klinik sudah tutup atau kediaman kita terletak jauh di pedalaman.
Justeru, pengetahuan mengenai kemahiran asas memberikan rawatan awal dan kecemasan amat diperlukan. Buku ini mempersembahkan suatu panduan buat para pembaca tentang cara dan petua menjadi doktor sendiri di rumah. Dalam erti kata lain, panduan ini adalah asas yang perlu dimiliki dan diambil tahu terutamanya oleh setiap ketua keluarga agar dapat bertindak dengan pantas dan berkesan dalam memberikan rawatan kecemasan awal jika berlaku sebarang kemalangan dan kecelakaan. Selain itu, panduan dalam buku ini juga dapat digunakan sebagai langkah pencegahan dan pengesanan awal bagi penyakit tertentu seperti demam, darah tinggi, kencing manis, stres dan sebagainya.
Panduan dalam buku ini menggariskan beberapa peralatan asas rawatan kecemasan yang perlu dan dicadangkan untuk dimiliki oleh setiap isi rumah seperti kotak rawatan kecemasan. Selain itu, buku ini juga menyenaraikan beberapa peralatan kesihatan yang boleh dimiliki bagi mengesan darah tinggi, kencing manis, stres dan sebagainya. Huraian tentang rawatan tradisional menggunakan tanaman herba di rumah juga turut disentuh sebagai tambahan kepada rawatan konvensional bagi penyakit-penyakit yang disenaraikan.




