Tazkiyah an-Nafs H/C

RM65.00

Availability: In stock

SKU: 9789674392000 Categories: ,

Perkataan tazkiyah an-nafs boleh dimaksudkan sebagai penyucian jiwa. Ia merupakan proses yang perlu dilalui untuk mencapai maksud penyucian dan pembersihan. Imam al-Ghazali (505H) menyatakan bahawa tazkiyah adalah tarbiyah yang bermaksud pendidikan. Yang ingin dibersihkan dan dididik di sini adalah jiwa kita, yang merupakan aspek dalaman. Ini disebabkan aspek dalaman seseorang akan mempengaruhi luaran dan tindakannya. Tindakan itulah pula yang dipanggil sebagai akhlak.

Asal perkataan ini mempunyai kaitan dengan tugas seorang rasul yang diutuskan oleh Allah Azza wa Jalla kepada umat manusia. Selain daripada tilawah (membacakan) dan ta’lim (mengajarkan), maka tugas utama rasul adalah tazkiyah (membersihkan), sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 129 bermaksud:”Wahai Tuhan kami, utuskanlah kepada mereka seorang Rasul dalam kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firman-Mu) dan mengajarkan mereka isi kandungan al-Kitab (al-Qur’an) serta hikmah (as-Sunnah) dan membersihkan (jiwa) mereka. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Berkuasa, lagi Maha Bijaksana.”

Tazkiyah melalui dua proses iaitu at-takhalliyah (mengosongkan) dan at-tahalliyah (menghiasi). Proses pertama, mengosongkan dan membuang segala sifat buruk daripada diri, seperti riak, ujub, hasad dengki dan sebagainya. Seterusnya menghiasi diri dengan sifat-sifat yang mulia seperti tawaduk, sabar, mengingati mati dan lain-lain. Sebagai seorang Muslim, kita perlu sentiasa membersihkan dan menyucikan diri kita (tazkiyah annafs) pada setiap masa dan ketika. Kitab Tazkiyah an-Nafs yang disusun oleh Imam Sai’d Hawwa ini amat bermanfaat dibaca, difahami dan diteliti bagi mempraktikkannya dalam kehidupan kita seharian. Sebagai manusia. kita sering lalai dan leka serta perlu sentiasa diingatkan supaya menyucikan jiwa, meningkatkan iman dan ketakwaan kepada Allah SWT sehinggalah kita bertemu-Nya dalam keadaan jiwa yang tenang (nafs mutma’innah) dan hati yang selamat (qalb salim).

Weight 1.3 kg
Dimensions 8 × 10 in