Al-Quran merupakan satu-satunya mukjizat Nabi Muhammad SAW yang masih kita hayati sehingga kini. Terkandung di dalamnya ilmu-ilmu yang begitu luas. Terdapat juga begitu banyak sekali kisah-kisah yang membukakan rahsia tentang kehidupan sama ada di dunia dan di akhirat. Bagi kita adalah tidak asing lagi mendengar tentang kisah-kisah nabi, bermula dari Nabi Adam AS hinggalah ke Nabi Muhammad SAW. Ini adalah satu lagi peluang kita menghayati kisah-kisah yang terdapat di dalam Al-Quran yang boleh kita ambil hikmah dan pengajarannya. Ia bukannya dongengan atau kisah lagenda yang semata-mata untuk hiburan dan memenuhi masa lapang. Lebih jauh daripada itu mesej yang disampaikan oleh Al-Quran yang penuh dengan ilmu dan hikmahnya.
Buku ini digarap dengan begitu tersusun mengisahkan tentang kisah-kisah nabi yang terdapat di dalam Al-Quran. Kita secara umumnya sudah biasa mendengar dan membaca tentang kisah-kisah nabi ini. Namun ada banyak juga kisah-kisah nabi ini diolah dan diperdengarkan tanpa merujuk dan mendapat nas-nas yang benar dan betul. Lebih teruk lagi ada kisah-kisah yang ditokok tambah sehingga ia terpesong jauh daripada kisah yang sebenarnya. Yang juga dikenali sebagai kisah-kisah Israeliat. Dan ada juga kisah yang hanya menggunakan sumber rujukan yang lemah dan disangsikan. Ini mesti kita hindarkan kerana ia boleh memesongkan bukan sahaja dari sudut kisahnya malah boleh memesongkan akidah.
Semoga kisah-kisah yang terdapat di dalam buku kita boleh kita hayati bersama dan mendapat hikmah dan pengajaran daripadanya.




