Satu-satunya manusia yang sejarah hidupnya tidak pernah kehabisan bahan untuk ditulis, dikaji dan dianalisis adalah sejarah hidup Rasulullah SAW. Pelbagai aspek kehidupannya telah dipaparkan oleh sarjana muslim tak terkecuali sarjana bukan muslim sekalipun. Malah Michael Hart yang merupakan sarjana bukan muslim pertama telah pun mengakuinya sebagai manusia nombor satu paling berpengaruh sepanjang sejarah.
Sarjana muslim Mesir era 1940-an misalnya telah mempelbagaikan lagi kajian tentang sirah atau sejarah hidup Rasulullah SAW dengan merungkai sisi kegeniusan baginda seperti yang ditulis oleh Abbad Mahmud al-‘Aqqad dalam bukunya ‘Abqariyyat Muhammad, serta sisi politik dan sejarah seperti yang ditulis oleh Dr. Muhammad Husein Haikal dalam bukunya Hayat Muhammad. Ada pula yang menulis dalam bentuk novel dengan bahasa yang amat mengkagumkan seperti yang ditulis oleh Dr. Thaha Husein dalam karyanya ‘Ala Hamisy al-Sirah dan penulisan dalam bentuk novel drama seperti yang ditulis oleh Taufik Hakim dalam bukunya Muhammad SAW.
Buku ini pastinya menghadirkan semangat baru dalam sejarah hidup Rasulullah SAW yang semestinya dijadikan penyuluh dalam kehidupan umat manusia. Pembaca pastinya merasakan ada yang lain daripada yang lain dari buku ini.






