Masa hidup para tabi’in adalah masa yang mempunyai kedudukan istimewa dalam sejarah Islam. Peranannya juga cukup besar dalam perkembangan Islam. Hal ini tidak menghairkan, kerana memang masa itu memiliki ramai ulama besar dan fuqaha yang menghasilkan karya-karya monumental. Karya-karya besar itu dinikmati oleh umat Islam dan seluruh umat manusia sepanjang sejarah.
Para ulama berbeza pendapat tentang definisi tabi’in. Al-Khatib Al-Baghdadi mengatakan, “Tabi’in adalah yang bertemu dan hidup bersama sahabat, tidak cukup hanya dengan bertemu. Berbeza dengan sahabat yang sekadar bertemu Rasulullah SAW sudah cukup untuk menamakan mereka sebagai sahabat. Itu kerana keutamaan bertemu, berkumpul dan melihat Rasulullah SAW. Semua itu mempunyai pengaruh positif dalam proses membina jiwa dan menyucikan hati. Seseorang tidak boleh dikatakan tabi’in jika hanya bertemu seorang sahabat tanpa mengikut dan belajar dalam waktu yang lama bersama mereka.”
Buku ini adalah usaha untuk menghimpunkan hadis-hadis tentang wanita-wanita muslimah, kemudian menunjukkan peranan besar mereka dalam sejarah, hingga akhirnya dapat diketahui anatomi keperibadian wanita muslimah. Buku ini juga adalah usaha lanjutan penulis untuk mengetahui susuk wanita muslimah secara lebih mendalam, khususnya mengenai kontribusi mereka dalam bidang keilmuan, kedudukan dan keutamaan mereka; sambil membuka berbagai dimensi keperibadian mereka yang meliputi sastera, hikmah, kata dan sikap-sikap yang dirakam sejarah dan yang lain.
InsyaAllah, semua maksud di atas akan wujud dalam sebuah buku yang berisi 30 biografi tokoh-tokoh wanita. Setiap biografi adalah layaknya satu dunia tersendiri dengan warisan tidak akan dilupakan umat dan sejarah. Menjadi demikian kerana perjalanan hidup mereka memiliki erti yang sangat bernilai dan meninggalkan bekas yang positif dalam ingatan sejarah dan realiti kehidupan.





